UMNO RASIS?

>> Monday 1 March 2010

Kerajaan Barisan Nasional yang di tunjang oleh Parti UMNO telah memerintah Negara Malaysia tercinta sejak merdeka lagi. Kini, UMNO dilabelkan sebagai sebuah parti yang ekstreme dan rasis serta melakukan kezaliman yang amat sangat.

Selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Sapi amat sukar bagi saya menerima label sebegitu rupa. Marilah kita bersama-sama mengkaji adakah perkara tersebut benar dengan hati yang iklhas, fikiran yang terbuka dan kajian yang adil.

Negara Malaysia kita yang tercinta ini, rakyatnya menganuti pelbagai agama serta mempraktikkan variasi budaya. Rumah ibadat bebas di didirikan malah kerajaan memberikan dana dan juga geran dari segi pembangunannya. Walhal, di Negara yang kononnya mengamalkan semangat demokrasi sejagat seperti Switzerland, Holland, Norway dan kebanyakkan negara-negara Eropah tidak membenarkan kubah masjid di bina di negara mereka. Negara China pula tidak membenarkan pembinaan gereja baru malah setiap upacara keagamaan pastinya ada kehadiran pegawai kerajaan untuk memantau demi memastikan tidak ada sebaran ideologi barat. Negara Arab pula tidak membenarkan rumah ibadat yang lain di bina selain Masjid. Apakah Kerajaan Malaysia yang kononnya zalim dan rasis mengamalkan sikap sedemikian rupa?

Rakyat pelbagai kaum di Malaysia juga bebas untuk menggunakan nama kaum ataupun bahasa ibunda masing-masing ke atas pengenalan diri. Negara Indonesia, Thailand dan Filipina tidak membenarkan rakyatnya menggunakan nama kaum serta bahasa ibunda masing-masing di pergunakan ke atas pengenalan diri. Malangnya, kerajaan kita masih lagi dikategorikan sebagai rasis dan zalim. Budaya setiap kaum di Malaysia boleh di praktikkan dengan bebasnya. Kerajaan Indonesia hanya selepas 10 tahun mengiktiraf perayaan tahun baru Cina. Sebaliknya, kerajaan Malaysia sudah mengiktiraf semenjak kemerdekaan lagi. Setiap perayaan kaum di Malaysia pastinya akan di berikan cuti umum oleh kerajaan. Adakah perkara ini berlaku di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, China, Turkey, Arab Saudi dan banyak lagi negara-negara yang lain. Di Malaysia walaupun saudara kita yang berbangsa India hanya lapan peratus sehingga sepuluh peratus tetapi perayaan mereka seperti Thaipussam dan Deepavali mendapat cuti umum. Ini adalah sebagai satu langkah kerajaan menerima keunikan perayaan kaum masing-masing.

Dari segi pendidikan pula, kerajaan membenarkan malah tidak pernah sama sekali menghalang pembinaan sekolah vernacular. Di Negara Singapura, di mana majoritnya penduduk Tiong Hua tidak mempunyai aliran pendidikan Mandarin. Di negara seperti Filipina, Indonesia dan Thailand juga tidak mempunyai sekolah vernacular. Usaha kerajaan Malaysia untuk melahirkan sebuah sekolah wawasan atau satu sekolah untuk semua kaum di anggap pula oleh sesetengah pihak sebagai rasis. Hanya di Negara Malaysia sahaja di mana kerajaannya membenarkan sekolah vernacular di tubuhkan dan perkara ini tidak berlaku di mana-mana negara yang lain. Ini jelas menunjukkan sikap keterbukaan dan sikap toleransi kerajaan Malaysia. Malangnya, sekali lagi Kerajaan digelar rasis.

Dari segi perspektif ekonomi pula, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sentiasa di anggap sebagai polisi yang cukup berat sebelah. 30 peratus itu sering kali di anggap cukup tidak adil. Walaupun 70 peratus itu masih bebas penyertaannya. Kalau benar 30 peratus itu di anggap tidak adil, di mana logiknya kenyataan itu kerana sepuluh individu yang terkaya di Malaysia hanya satu dan itu pun dalam kedudukan nombor 7 diduduki oleh bangsa Melayu. Kita juga sering lupa yang sejak kemerdekaan lagi kerajaan membenarkan industri gula di monopolikan oleh Tan Sri Robert Kuok. Adakah Tan Sri Robert seorang Melayu? Kerajaan juga hanya memberikan lesen TV Satelit kepada Tan Sri Ananda Krishan. Adakah Tan Sri Ananda Krishan seorang Melayu? Jika dilihat dari segi prinsip demokrasi pula bukankah pihak yang majoriti mempunyai keistimewaan yang lebih? Untuk memulakan perniagaan di Dubai, China dan India polisi kerajaan mereka dengan jelas mengatakan perlu ada rakan kongsi tempatan ke atas syarikat-syarikat asing yang di mana ada sehingga 40 peratus.

Marilah kita sebagai rakyat Malaysia pelbagai kaum bersatu dan teruskan tradisi perpaduan kaum yang utuh selama ini supaya tidak tergugat. Tanpa perpaduan negara Malaysia tidak akan maju ke hadapan.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP